BUKA PUASA - Karipap Pusing

Thursday, September 13, 2007



Bahan kulit A :
350 gm tepung gandum
1 cawan air suam
sedikit garam


Bahan kulit B :
150 gm tepung gandum
1 s/k shortening (lemak sayur)
majerin ikut lembut

Cara penyediaan :
Gaulkan dan uli bahan A sehingga kental dan tidak melekat ditangan. Bahagikan kepada 6 bebola kecil. Ketepikan. Gaul dan ulikan bahan B sehingga menjadi ketul yang lembut. Bahagikan juga kepada 6 bebola kecil juga.

Ambil bebola A dan leperkan. Ambil bebola B dan masukkan kedalam bebola A. Ulang sampai semua bebola habis. Canai dan leperkan secara memanjang bebola tadi. Gulungkan adunan seperti gulungan tikar. Canai dan leperkan sekali lagi. Gulungkan sekali lagi. Buat kesemua bebola sehingga habis.

Ambil satu gulungan dan hiris setebal 1/2 inci dan canai supaya leper tetapi dalam bentuk bujur. Masukkan inti di tengah dan tutupkan semula. Kemaskan dengan kelim disekelilingnya. Tekan kuat sikit dengan hujung jari supaya tidak mudah terbuka bila digoreng. Buat sehingga adunan habis.

Gunakan minyak yang banyak tetapi jangan terlalu panas, gorengkan dengan api yang sederhana. Bila nampak kuning keemasan boleh angkat dan hidangkan.

Bahan Inti :
1 cawan isi ayam atau daging - dicincang halus
1 labu bawang besar - dicincang dadu
500 gm ubi kentang - dipotong dadu
2 sudu besar rempah kari daging
2 cawan air
sedikit garam dan gula
4 batang daun sup
2 tangkai daun kari
minyak untuk tumis

Cara penyediaan :

Panaskan minyak dan tumiskan bawang dan daun kari sehingga wangi dan layu. Masukkan rempah kari dan biarkan sehingga garing. Masukkan isi ayam atau daging dan biarkan hingga masak. Apabila ayam atau daging telah masak, masukkan kentang, garam, gula dan air. Masakkan sehingga kentang empuk dan air kering. Tutup api dan masukkan dalam mangkuk. Sejukkan.

0 comments:

KaKCiK | ReCiPeS Copyright © 2010 Designed by GeZoRT for LyZa Vector by GeZoRT