Showing posts with label Fish. Show all posts
Showing posts with label Fish. Show all posts

Ikan Tenggiri Goreng Bercili

Friday, March 5, 2010



Bahan-bahan :
3 ketul ikan tenggiri
1 labu bawang besar
3 sudu besar pes cili
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu teh gula
sedikit garam
sedikit kunyit
minyak untuk menggoreng

Cara penyediaan :
Ikan dibersihkan dan dilumur dengan kunyit dan garam. Goreng ikan hingga masak. Angkat dan ketepikan. Ambil 3 sudu besar minyak gorengan ikan tadi dan tumis bawang besar yang telah dikisar bersama pes cili. Masukkan sos cili, sos tomato, gula dan garam. Kacau hingga sedikit kering dan masukkan ikan. Setelah sebati bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Siakap Stim Ala KakCik

Wednesday, March 3, 2010



Bahan-bahannya :
1 ekor ikan siakap
3 inci halia - dihiris memanjang
2 batan serai - diketuk
3 biji limau nipis
2 sudu besar sos plum
4 ulas bawang putih - dihiris
4 ulas bawang merah - dihiris
1 biji tomato - dibelah 2 dan dihiris
Sedikit daun ketumbar
1 sudu teh serbuk lada sulah

Cara penyediaan :
Ikan dibersihkan dan dikelar supaya boleh menyerap rasa. Kukus ikan bersama halia, tomato, bawang merah, bawang putih dan serai. Sementara menunggu ikan siap dikukus, sediakan bahan sosnya di dalam mangkuk dengan mencampurkan sos plum, jus limau, gula, garam dan serbuk lada sulah. Apabila ikan masak, tuangkan campuran sos tadi ke atas ikan dan kukus lagi untuk beberapa minit agar ia sebati. Angkat dan boleh dihidangkan.


Pindang Ikan Ayong

Tuesday, July 17, 2007

Bahan-bahan :
4 ekor ikan kembung/selar
2 batang serai - diketuk
3 cawan air
3 keping asam gelugur
1 biji kentang - dipotong ketul
1/2 biji timun - dipotong serong
1 sudu kecil pes cili
sedikit garam & serbuk kunyit

Cara penyediaan :
Ikan dibersih dan ditoskan (kalau kembung tu besar sangat, potonglah 2). Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk bertutup dan biarkan ia mendidih. Kemudian angkat dan hidang bersama nasi putih dan sambal belacan, mak oi sedapnye....amat sesuai untuk ibu2 yang masih dalam pantang.

Ikan Celup Tepung

Thursday, July 12, 2007


Bahan-bahan :
5 ekor ikan kembung (selayang @ selar pun boleh gak)
(dibersihkan seperti biasa)

Bahan batter goreng :
2 cawan tepung beras
3 s/b tepung goreng kentucky
1 biji telur
sedikit air larutan kapur sirih
air secukup nya
sedikit garam & kunyit (cantik skit)
minyak untuk menggoreng

Cara penyediaan :
Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali terlebih dahulu sementara menunggu adunan tepung disediakan. Campurkan kesemua bahan tepung dan kacau menggunakan whisker. Kacau hingga adunan sebati dan tidak terlalu pekat. Di akhir peringkat, masukkan 2 sudu besar minyak yang sedang panas ke dalam adunan untuk mendapatkan gorengan yang lebih garing. Celupkan ikan seekor demi seekor dan goreng sehingga garing. Angkat dan toskan terlebih dahulu. Hidangkan dengan sos cili (rajin2 la view kat resipi kakcik, pasti dapat cara2 membuatnya).

Ikan Masak Taucu Mama

Bahan-bahan :
4 keping ikan tenggiri @ kembung besar @ bawal
1/2 cawan taucu - ditumbuk kasar
1 batang timun - buang pulur & potong 4
7 biji cili hijau
1/2 s/k gula
2 labu bawang besar - dipotong 4
sedikit serbuk kunyit
sedikit garam
air secukupnya
minyak masak

Bahan mayang/hiris :
3 ulas bwg merah
2 ulas bwg putih
1/2 inci halia

Cara penyediaan :
Bersihkan ikan dan gaul dgn garam dan kunyit dan goreng hingga garing dan ketepikan. Panaskan minyak dan tumiskan bahan mayang tadi sehingga wangi. Masukkan taucu, air dan gula, biarkan mendidih. Masukkan timun, cili hijau, bawang besar dan ikan yang telah digoreng tadi. Kacau hingga sebati dan bolehlah dihidangkan bersama nasi putih.


Gulai Ikan Kering (Tumis Darat)

Saturday, July 7, 2007



Bahan-bahan :
Kepingan tulang dan isi ikan talang masin
3 sudu besar rempah kari ikan kering
(ada dijual di kedai, tak kira adabi pun ok gak)
3 ulas bawang merah - ditumbuk halus
1 ulas bawang putih - ditumbuk halus
1 kotak santan M&S
1/4 biji nenas - dibuang pulur dan dipotong
1 biji karot - dipotong memanjang (kalau suka)
2 biji terung bulat - dibelah 4
2 biiji tomato buah - dibelah 4

Bahan tumis:
2 tangkai daun kari
5 ulas bawang merah - dimayang nipis
3 ulas bawang putih - dimayang nipis
1 sudu kecil halba campur

Cara penyediaan :
Campurkan bahan tumbuk dan rempah kari bersama santan pekat (agak2 1/2 kotak) dan masakkan di atas api yang perlahan. Apabila telah kering, masukkan lebihan santan tadi bersama sedikit air. Masukkan juga kesemua bahan kecuali bahan tumis dalam periuk sehingga mendidih. Di dalam kuali yang berasingan, tumiskan bahan tumis sehingga wangi. Tuangkan bahan tumis kedalam periuk gulai ikan tadi. Tutupkan tudung periuk dan biarkan sebentar. Bila nak dihidang kacau perlahan gulai supaya minyak & bahan tumis kelihatan seperti naik minyak. Lepas tu makan bersama nasi panas2...hmmmm....yummy!!!!!!




BUKA PUASA - Cencaru Belah Belakang

Thursday, July 5, 2007

Bahan-bahan :
4 ekor ikan cencaru - dicuci dan dibelah dibelakang
minyak untuk menggoreng
4 helai daun serai (pilih yang panjang)

Bahan Sambal :
2 batang serai - diracik
4 ulas bawang merah
6 tangkai cili merah
2 sudu besar kelapa parut
sedikit garam
gula secukup rasa

Cara penyediaan :
Kisarkan kesemua bahan sambal dan sumbatkan ke dalam bahagian belakang ikan cencaru. Ambil daun serai yang panjang tadi dan lilitkan di sekeliling ikan supaya isi sambal tidak terkeluar semasa menggoreng. Pastikan lilitan tadi kemas dan kalau perlu gunakan lidi untuk mematikan ikatan. Panaskan minyak dan gorengkan ikan sehingga garing. Terbalikkan ikan supaya garing di kedua2 belah ikan tu. Bila dah masak bolehlah diangkat dan dihidangkan dalam pinggan. Kalau suka, bolehlah diperahkan limau kasturi untuk menambah perisa sambal dalam ikan.

Kerapu / Siakap Masak Masam Manis

Wednesday, June 13, 2007

Bahan-bahan :
2 ekor ikan kerapu/siakap (saiz sederhana)
3 biji tomato - dicincang dadu
2 biji cili merah - di hiris kasar
1 biji capsicium - di potong dadu
1 batang karot (kecil) - dipotong memanjang
1 tangkai daun bawang - dipotong
Sedikit bunga kobis - dipotong kecil
2 potong nenas - di dadu
1 sudu besar pes cili
1 labu bawang besar - dipotong bulat
5 ulas bawang putih - ditumbuk kasar
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sedikit sos ikan
1/2 cawan campuran sos cili dan tomato
1 sudu teh tepung jagung - bancuh dgn 3 sudu air
Sedikit garam
2 sudu besar gula
2 helai daun limau purut

Cara penyediaan :
Ikan dibersihkan dan dilumurkan dengan serbuk kunyit dan garam. Seratakan ke semua bahagian ikan. Gunakan kuali yang tidak melekat (non stick pan), tuangkan minyak hingga lepas paras ikan. Apabila minyak panas, masukkan ikan dan perlahankan api. Biarkan hingga ikan masak tetapi jangan terlalu garing. Angkat ikan dan biarkan sebentar. Di dalam kuali yang lain, panaskan 4 sudu besar minyak masak, tumiskan bawang putih. Apabila bawang putih sudah garing, masukkan pes cili. Tumis hingga pes cili agak garing, kemudian masukkan tomato yang telah dicincang, karot, campuran sos cili dan tomato, sos tiram, sos ikan, garam dan gula. Biarkan hingga agak kering dan masukkan cili merah, bunga kobis, daun limau purut, nenas dan capsicium. Kacau hingga sebati. Masukkan tepung jagung yang telah dicampur air untuk memekatkan kuah dan kacau sebentar. Angkat dan tuangkan ke atas ikan yang telah digoreng tadi. Taburkan dengan potongan daun bawang dan sedia untuk dihidangkan.

Kari Kepala Ikan

Sunday, June 10, 2007


Bahan-bahan :
1 ketul kepala ikan merah (red snapper) - dibersihkan
100g kacang bendi
100g terung bulat (dipotong 4)
2 biji tomato (dipotong 4)
3 tangkai cili merah (dibelah dua, jangan putuskan)
1/2 mangkuk kecil air perahan asam jawa
1 gelas air (ikut kecairan kesukaan anda)
100ml santan pekat dari 1/2 biji kelapa (atau 1/2 kotak kecil santan M&S)
sedikit garam (secukup rasa)

Bahan-bahan rempah:
1/2 sudu teh halba campur
3 tangkai daun kari
3 sudu besar rempah kari ikan
1 sudu besar rempah kari daging
10 ulas bawang merah - ditumbuk halus
3 ulas bawang putih - ditumbuk halus

* campurkan rempah kari ikan dan daging bersama air sehingga pekat dan masukkan setengah daripada bahan tumbuk tadi (bawang merah dan bawang putih)

Cara penyediaan :
Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumbuk bersama kesemua bahan2 rempah menggunakan api yang perlahan, kacau hingga rempah menjadi garing. Setelah rempah garing, masukkan kepala ikan dan biarkan selama 3minit. Masukkan air dan biarkan ia mendidih di dalam periuk. Kemudian masukkan kacang bendi, terung dan cili merah. Apabila bahan ini agak masak, masukkan santan kelapa dan terus mengacau dengan perlahan sehinggalah kuah nampak menggelegak. Jangan biarkan kuah mendidih tanpa dikacau kerana ia akan pecah minyak dan hilang rasa enaknya. Angkat dan hidangkan bersama nasi putih.

KaKCiK | ReCiPeS Copyright © 2010 Designed by GeZoRT for LyZa Vector by GeZoRT