Showing posts with label Rice. Show all posts
Showing posts with label Rice. Show all posts

BUKA PUASA - Nasi Bukhari Kakcik

Monday, September 3, 2007



Bahan-bahan :
4 cawan beras basmathi @ gred A1
1 kg daging - dibersih dan dipotong dadu (5cm x 5cm)
2 bungkus rempah kari daging babas (jadikan pes)
2 sudu besar serbuk ketumbar
2 labu bawang besar - di potong 8
1 bungkus sup bunjut
5 biji tomato masak - dipotong 4
2 sudu besar perahan air limau nipis
Sedikit garam dan gula
1 cawan kecil kismis
3 tangkai daun sup/saderi
6 cawan air

Bahan tumis :
2 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar marjerin
sedikit minyak masak

2 kuntuk bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
2 inci kulit kayu manis
3 tangkai daun kari
2 inci halia
Bahan tumbuk :
8 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih

Cara penyediaan :
Beras dicuci bersih dan rendam selama lebih kurang 2-3 jam agar lebih kembang dan cantik bila dimasak. Panaskan periuk dan masukkan minyak masak, minyak sapi dan marjerin. Bila panas, masukkan bahan tumis dan bahan tumbuk tadi. Kacau hingga garing, masukkan serbuk ketumbar, pes kari daging (rempah yang dicampur air) dan pes cili. Apabila telah garing dan agak kering, masukkan air, sup bunjut, garam, gula dan potongan daging tadi. Tutup periuk dan biarkan sehingga daging kelihatan empuk. Bila daging telah empuk, masukkan beras yang telah direndam dan ditoskan tadi, potongan tomato dan bawang besar. Pastikan air mencukupi supaya nasi tidak mentah tetapi tidak perlu terlalu banyak kerana beras tadi telah direndam terlebih dahulu dan ia menjadi kembang. Masaklah nasi seperti biasa dan apabila nasi telah masak, masukkan perahan air limau dan kismis. Kacau hingga sebati dan kaup balikkan nasi agar masak rata. Hiaskan dengan daun saderi, hirisan tomato serta bawang goreng.

BUKA PUASA - Nasi Ayam Madu Kak Cik

Monday, June 25, 2007







Bahan-bahan sup :
1 ekor ayam (dipotong 4 & dibersihkan)
2 kiub pati ayam Knorr
2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
2 inci halia - dipotong kasar
3 sudu besar kicap manis
3 sudu besar madu
2 liter air

Cara penyediaan sup :
Rebuskan ayam bersama kesemua bahan di atas kecuali kicap sehingga ayam dikira masak. Keluarkan isi ayam dan perapkan bersama kicap pekat dan madu selama kira-kira 2 jam. Setelah itu goreng ayam di dalam minyak yang penuh tetapi jangan terlalu lama sebab ayam telah pun masak semasa direbus tadi. Angkat dan potong mengikut kesukaan anda.

Bahan-bahan sos kicap :
sedikit kicap pekat
1/4 cawan kicap biasa (jangan guna kicap masin)
2 ulas bawang putih (diketuk)
1 cawan sup ayam
1 biji limau kasturi

Cara penyediaan :
Panaskan periuk dan tumiskan bawang putih. Masukkan sup ayam bersama kicap dan biarkan ia mendidih. Akhir sekali perahkan air limau kasturi di dalamnnya dan tutup api.

Bahan-bahan sos cili :
2 sudu besar pes cili
2 sudu besar gula
sedikit garam
sedikit cuka
3 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
sedikit air

Cara penyediaan sos cili :
Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk (tak perlu ditumis) dan biarkan ia mendidih dan kuah menjadi pekat. Sentiasa mengacau supaya tidak hangit di bahagian bawahnya.

Bahan-bahan nasi :
5 cawan kecil beras panjang (direndam 3 jam terlebih awal)
1 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1 biji buah pelaga
1 labu bawang besar - dimayang halus
1 inci halia - di mayang halus
2 ikat daun pandan - diikat simpul
2 batang serai - dititik
2 sudu besar minyak sapi
3 sudu besar majerin
5 cawan air rebusan ayam

Cara penyediaan :
Panaskan minyak di dalam periuk (seeloknya gunakan rice cooker agar nasi masak elok). Tumiskan bawang besar dan perkakasan rempah. Apabila telah garing, masukkan air rebusan ayam mengikut sukatan kelembutan nasi (jangan terlalu banyak air nanti nasi menjadi lembik dan tidak sedap jika dimakan bersama sup panas). Biarkan hingga mendidih dan masukkan daun pandan, serai serta sedikit garam bersama beras yang telah dibersih dan ditoskan. Masak sehingga nasi kering dan terus mengacau supaya nasi masak serata dan tidak mentah di bahagian atas. Keringkan nasi sehingga ia betul-betul tidak melekit dan kelihatan berbiji-biji, kemudian barulah dihidangkan bersama ayam goreng, sup ayam, sup kicap dan sos cili. Boleh juga diletakkan bersama hirisan timun, tomato dan salad sebagai hiasan.

p/s : jangan guna air rebusan terlalu banyak kerana beras telah direndam terlebih awal dan sedikit sebanyak ia telah mengembang dengan sendirinya. Anda boleh menambahkan air pada peringkat akhir sekiranya didapati nasi terlalu keras.

BUKA PUASA - Bubur Kanji

Sunday, June 24, 2007



Bahan-bahan :
2 cawan kecil beras (untuk 6 orang dewasa)
50gram udang kering (agak2 segenggam)2 batang serai - dititik
1/2 sudu kecil halba
1 tangkai daun bawang (dipotong 1/2 inci pjg)
1 inci halia (dihiris memanjang)
1/2 kotak santan M&S
2 helai daun pandan (diikat simpul)
sedikit garam
500 ml air

Bahan tumis :
3 ulas bawang merah - dihiris nipis
1 ulas bawang putih - dihiris nipis
1/2 inci halia - dihiris nipis

Cara penyediaan :
Masakkan nasi seperti anda membuat bubur biasa. Apabila telah menjadi bubur, masukkan udang kering, santan, halia, halba, garam, daun pandan dan serai. Biarkan di atas api yang perlahan dan terus mengacau hingga mendidih. Di dapur yang berasingan, panaskan minyak di dalam kuali. Tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia yang telah dihiris nipis. Biarkan hingga garing dan kekuningan. Angkat dan tuangkan semuanya bersama minyak kedalam periuk bubur dan masukkan sekali daun bawang yang telah dipotong tadi. Tutup periuk dan api, biarkan hingga sebati baru diangkat dan dihidangkan. Taburkan di atasnya dengan hirisan cili, bawang goreng dan cincangan daun bawang.....mesti terangkat!!!!
p/s : bagi yang suka campuran daging atau ayam, bolehlah dimasukkan bersama, tetapi kak cik lebih suka bubur kanji yang simple begini, lagipun aroma udang kering dan bahan tumis darat tu dah cukup menyelerakan.

Nasi Lemak Sambal Ikan Bilis

Friday, June 15, 2007




Bahan-bahan :
5 cawan beras (direndam 2-3 jam)
1 kotak kecil santan M&S
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 helai daun pandan
2 batang serai - dititik
1 inci halia - dihiris
2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1/2 sudu kecil halba
Air mengikut sukatan beras

Bahan sampingan :
Rendang daging
Ikan bilis goreng
Telur rebus (dibelah dua) atau
Telur mata kerbau
Hirisan timun
Kacang tanah - digoreng minyak
Sambal tumis ikan bilis
Cara penyediaan :
Beras dibasuh dan ditoskan. Masukkan di dalam rice cooker bersama semua bahan-bahan di atas (jangan masukkan pulak bahan sampingan di atas). Pastikan air mencukupi dan jangan terlalu banyak, takut nasi lemak menjadi lembik dan kurang enak. Sentiasa mengacau campuran beras tadi supaya tidak hangit di bahagian bawahnya. Masak nasi seperti biasa dan biarkan nasi betul-betul kering dan masak. Angkat dan hidangkan bersama bahan-bahan sampingan di atas.

Sambal tumis ikan bilis :
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1/2 labu bawang besar
100 gm ikan bilis
1 cm belacan - dibakar
4 sudu besar pes cili
2 cawan air asam jawa
1 batang serai - dititik
Garam secukup rasa
2 sudu besar gula
3 sudu besar minyak masak
Cara penyediaan :
Panaskan kuali dengan minyak masak. Masukkan hirisan bawang merah dan bawang putih dan goreng hingga kekuningan. Kemudian masukkan pes cili bersama belacan bakar dan goreng sehingga garing dan terbit bau wangi. Tambahkan air asam dan masukkan hirisan bawang besar, serai, garam, gula dan ikan bilis. Goreng hingga kuah menjadi agak pekat dan pecah minyak.

Nasi Beriyani Alaf Baru

Bahan-bahan :
5 cawan beras basmathi, direndam 1jam
1/2 cawan susu cair ideal
3 helai daun pandan
2 batang serai - dititik
Buah kismis - hiasan
Gajus goreng - hiasan
1 peket rempah beriyani Faiza
Air mengikut sukatan beras
Garam secukup rasa

Bahan tumis :
3 sudu minyak sapi
2 sudu majerin vitalite
3 tangkai daun kari
2 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
3 cm kulit kayu manis
1 inci halia - dimayang nipis
1/2 labu bawang besar -dimayang nipis
2 ulas bawang putih - dimayang halus

Cara penyediaan :
Panaskan minyak sapi dan majerin (gunakan rice cooker lagi bagus). Masukkan bahan tumis dan kacau hingga garing. Masukkan rempah beriyani yang telah dicampur dengan air dan kacau lagi hingga rempah agak kering dan berbau wangi. Tambahkan air dan garam tetapi jangan terlalu banyak, takut nanti nasi menjadi lembik. Biarkan air mendidih dan masukkan serai serta daun pandan. Beras yang telah direndam tadi hendaklah dicuci dan ditoskan, kemudian dimasukkan ke dalam periuk. Tutup tudung periuk dan biarkan nasi menjadi kering. Kacau nasi dan biarkan ia masak. Setelah nasi masak dan betul-betul kering, masukkan susu cair dan kacau hingga serata dan biarkan selama 3 minit. Angkat nasi dan hiaskan bersama kismis dan gajus goreng.

BUKA PUASA - Nasi Tomato

Tuesday, June 12, 2007

Bahan-bahan :
5 cawan beras basmathi
1 tin kecil tomato puree 'duchef"
1 cawan susu cair ideal
Kismis hitam
Sedikit garam
Air (ikut kelembutan beras)
Minyak sapi dan majerin vitalite
2 helai daun pandai - diikat simpul

Bahan tumis :
3 tangkai daun kari
3 ulas bawang merah - dihiris nipis
2 ulas bawang putih - dihiris nipis
1 inci halia - diracik memanjang
3 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
1 biji buah pelaga

Bahan hiasan :
Gajus, bawang goreng dan hirisan daun bawang

Cara penyediaan :
Beras direndam selama 1 jam supaya ia kembang sedikit. Setelah itu toskan. Panaskan minyak sapi dan majerin dan masukkan bahan tumis (seeloknya gunakan rice cooker). Kacau hingga garing. Masukkan air, garam, tomato puree dan daun pandan, biarkan hingga mendidih. (Jangan masukkan terlalu banyak air kerana beras telah mengembang, takut nanti nasi jadi lembik dan kurang enak dimakan). Setelah mendidih, masukkan beras yang telah ditoskan tadi dan kacau hingga sebati. Biarkan nasi kering dan kaup balikkan nasi supaya ia masak serata pada bahagian atas dan bawah. Apabila nasi telah masak barulah dimasukkan kismis hitam dan biarkan sebentar kerana kismis ini akan mengembang di dalam periuk. Angkat nasi dan hiaskan dengan hirisan daun bawang dan bawang goreng. Memang sedap dimakan bersama kurma ayam, daging ataupun dalca. Selamat mencuba...........

Nasi Minyak Tradisional Kak Cik

Bahan untuk nasi :
5 cawan beras basmathi
1 cawan susu cair
Air (ikut kelembutan beras)
Garam secukup rasa

Bahan untuk menumis :
3 ulas bawang merah - dihiris nipis
2 ulas bawang putih - dihiris nipis
1 inci halia - dihiris halus
2 kelopak bunga lawang
2 kuntuk bunga cengkeh
2 biji buah pelaga
3 inci kulit kayu manis
3 sudu minyak sapi (ghee)
2 sudu majerin atau butter
1 sudu minyak masak
Daun pandan - diikat simpul

Bahan hiasan :
Kismis, gajus goreng, badam
Hirisan daun bawang dan bawang goreng
Cili merah

Cara penyediaan :
Panaskan minyak, minyak sapi dan majerin/butter (kalau guna rice cooker lagi senang sebab nasi tidak berkerak). Masukkan bahan menumis dan kacau hingga kekuningan. Masukkan air dan daun pandan serta garam. Biarkan hingga mendidih, kemudian masukkan beras yang telah dibersih dan ditoskan tadi. Biarkan nasi kering dan masukkan susu cair pada peringkat nasi sudah masak. Kaup balikkan nasi di dalam periuk supaya ia masak serata pada bahagian atas dan bawah. Sendukkan nasi dan hiaskan dengan bahan hiasan tadi. Sedap dimakan bersama ayam masak merah, kurma daging, dalca dan acar. Selamat mencuba...............

KaKCiK | ReCiPeS Copyright © 2010 Designed by GeZoRT for LyZa Vector by GeZoRT