BUKA PUASA - Nasi Ayam Madu Kak Cik

Monday, June 25, 2007







Bahan-bahan sup :
1 ekor ayam (dipotong 4 & dibersihkan)
2 kiub pati ayam Knorr
2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
2 inci halia - dipotong kasar
3 sudu besar kicap manis
3 sudu besar madu
2 liter air

Cara penyediaan sup :
Rebuskan ayam bersama kesemua bahan di atas kecuali kicap sehingga ayam dikira masak. Keluarkan isi ayam dan perapkan bersama kicap pekat dan madu selama kira-kira 2 jam. Setelah itu goreng ayam di dalam minyak yang penuh tetapi jangan terlalu lama sebab ayam telah pun masak semasa direbus tadi. Angkat dan potong mengikut kesukaan anda.

Bahan-bahan sos kicap :
sedikit kicap pekat
1/4 cawan kicap biasa (jangan guna kicap masin)
2 ulas bawang putih (diketuk)
1 cawan sup ayam
1 biji limau kasturi

Cara penyediaan :
Panaskan periuk dan tumiskan bawang putih. Masukkan sup ayam bersama kicap dan biarkan ia mendidih. Akhir sekali perahkan air limau kasturi di dalamnnya dan tutup api.

Bahan-bahan sos cili :
2 sudu besar pes cili
2 sudu besar gula
sedikit garam
sedikit cuka
3 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
sedikit air

Cara penyediaan sos cili :
Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk (tak perlu ditumis) dan biarkan ia mendidih dan kuah menjadi pekat. Sentiasa mengacau supaya tidak hangit di bahagian bawahnya.

Bahan-bahan nasi :
5 cawan kecil beras panjang (direndam 3 jam terlebih awal)
1 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1 biji buah pelaga
1 labu bawang besar - dimayang halus
1 inci halia - di mayang halus
2 ikat daun pandan - diikat simpul
2 batang serai - dititik
2 sudu besar minyak sapi
3 sudu besar majerin
5 cawan air rebusan ayam

Cara penyediaan :
Panaskan minyak di dalam periuk (seeloknya gunakan rice cooker agar nasi masak elok). Tumiskan bawang besar dan perkakasan rempah. Apabila telah garing, masukkan air rebusan ayam mengikut sukatan kelembutan nasi (jangan terlalu banyak air nanti nasi menjadi lembik dan tidak sedap jika dimakan bersama sup panas). Biarkan hingga mendidih dan masukkan daun pandan, serai serta sedikit garam bersama beras yang telah dibersih dan ditoskan. Masak sehingga nasi kering dan terus mengacau supaya nasi masak serata dan tidak mentah di bahagian atas. Keringkan nasi sehingga ia betul-betul tidak melekit dan kelihatan berbiji-biji, kemudian barulah dihidangkan bersama ayam goreng, sup ayam, sup kicap dan sos cili. Boleh juga diletakkan bersama hirisan timun, tomato dan salad sebagai hiasan.

p/s : jangan guna air rebusan terlalu banyak kerana beras telah direndam terlebih awal dan sedikit sebanyak ia telah mengembang dengan sendirinya. Anda boleh menambahkan air pada peringkat akhir sekiranya didapati nasi terlalu keras.

0 comments:

KaKCiK | ReCiPeS Copyright © 2010 Designed by GeZoRT for LyZa Vector by GeZoRT