Makaroni Goreng Seafood

Monday, June 25, 2007

Bahan-bahan :
200 gram makaroni (bentuk siput)
100 gram ayam (dipotong kecil)
50 gram udang basah (dibuang kulit)
50 gram sotong (dipotong bulat)
1 sudu besar pes cili
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
2 sudu besar kicap mee
1 sudu besar sos sotong
4 ulas bawang putih (dicincang halus)
sedikit garam
sedikit lada sulah
sedikit kobis (dipotong kecil)
1 tangkai daun bawang (dipotong 1/2 inci)

p/s : Makaroni direbus hingga lembut. Angkat dan toskan. Letakkan beberapa titik minyak zaiton ke dalam makaroni supaya ia tidak melekat. Jika tidak ada minyak zaiton, boleh juga digunakan minyak masak ataupun majerin.

Cara penyediaan :
Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih. Apabila agak garing, masukkan pes cili, sos cili, sos tomato, sos tiram, kicap manis dan garam. Goreng hingga agak kering dan masukkan potongan ayam dan udang yang telah dibuang kulit. Masukkan kobis dan kacau hingga sebati. Kemudian campurkan makaroni yang telah dimasak dan ditoskan tadi, kacau lagi hingga semuanya bercampur. Akhir sekali masukkan hirisan daun bawang dan lada sulah.

BUKA PUASA - Cincau Bandung Perisa Vanila


Bahan-bahan :
1/2 ketul cincau - dihiris & potong memanjang
1/2 tin susu cair ideal
sedikit air gula
sedikit pewarna merah
susu krimer pekat (ikut manis)
1/4 sudu teh esen vanilla

Cara penyediaan :
Bancuhkan air gula bersama pewarna merah, susu pekat dan susu cair. Pastikan ia menjadi warna merah jambu. Masukkan potongan cincau dan ais kiub....siap untuk dihidangkan...sedap kalau diminum waktu berbuka puasa.

Ice Blended Chocolate Chip


Bahan-bahan (untuk 4 orang) :
4 sudu besar serbuk koko 'vochelle"
2 sudu besar serbuk milo
1/2 sudu teh esen vanilla
1/2 cawan susu cair ideal (tin warna pink)
secukup rasa susu pekat
sedikit air panas
krim putar
chocolate chip 'vochelle'
ais kiub

Cara penyediaan :
Campurkan bahan-bahan serbuk koko, milo, vanilla, susu cair dan susu pekat bersama sedikit air panas dan kacau hingga sebati. Sediakan blender dan masukkan ais kiub di dalamnya bersama campuran koko tadi. Mesin sehingga ais pecah dan sebati. Tuang di dalam gelas dan letakkan krim di atasnya dan taburkan bersama chocolate chip dan serbuk milo. Kalau suka boleh juga digantikan dengan chocolate rice tapi jangan terlalu banyak. Untuk yang sukakan chocolate, pasti ini menyenangkan anda. Selamat mencuba ....

BUKA PUASA - Nasi Ayam Madu Kak Cik







Bahan-bahan sup :
1 ekor ayam (dipotong 4 & dibersihkan)
2 kiub pati ayam Knorr
2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
2 inci halia - dipotong kasar
3 sudu besar kicap manis
3 sudu besar madu
2 liter air

Cara penyediaan sup :
Rebuskan ayam bersama kesemua bahan di atas kecuali kicap sehingga ayam dikira masak. Keluarkan isi ayam dan perapkan bersama kicap pekat dan madu selama kira-kira 2 jam. Setelah itu goreng ayam di dalam minyak yang penuh tetapi jangan terlalu lama sebab ayam telah pun masak semasa direbus tadi. Angkat dan potong mengikut kesukaan anda.

Bahan-bahan sos kicap :
sedikit kicap pekat
1/4 cawan kicap biasa (jangan guna kicap masin)
2 ulas bawang putih (diketuk)
1 cawan sup ayam
1 biji limau kasturi

Cara penyediaan :
Panaskan periuk dan tumiskan bawang putih. Masukkan sup ayam bersama kicap dan biarkan ia mendidih. Akhir sekali perahkan air limau kasturi di dalamnnya dan tutup api.

Bahan-bahan sos cili :
2 sudu besar pes cili
2 sudu besar gula
sedikit garam
sedikit cuka
3 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
sedikit air

Cara penyediaan sos cili :
Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk (tak perlu ditumis) dan biarkan ia mendidih dan kuah menjadi pekat. Sentiasa mengacau supaya tidak hangit di bahagian bawahnya.

Bahan-bahan nasi :
5 cawan kecil beras panjang (direndam 3 jam terlebih awal)
1 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1 biji buah pelaga
1 labu bawang besar - dimayang halus
1 inci halia - di mayang halus
2 ikat daun pandan - diikat simpul
2 batang serai - dititik
2 sudu besar minyak sapi
3 sudu besar majerin
5 cawan air rebusan ayam

Cara penyediaan :
Panaskan minyak di dalam periuk (seeloknya gunakan rice cooker agar nasi masak elok). Tumiskan bawang besar dan perkakasan rempah. Apabila telah garing, masukkan air rebusan ayam mengikut sukatan kelembutan nasi (jangan terlalu banyak air nanti nasi menjadi lembik dan tidak sedap jika dimakan bersama sup panas). Biarkan hingga mendidih dan masukkan daun pandan, serai serta sedikit garam bersama beras yang telah dibersih dan ditoskan. Masak sehingga nasi kering dan terus mengacau supaya nasi masak serata dan tidak mentah di bahagian atas. Keringkan nasi sehingga ia betul-betul tidak melekit dan kelihatan berbiji-biji, kemudian barulah dihidangkan bersama ayam goreng, sup ayam, sup kicap dan sos cili. Boleh juga diletakkan bersama hirisan timun, tomato dan salad sebagai hiasan.

p/s : jangan guna air rebusan terlalu banyak kerana beras telah direndam terlebih awal dan sedikit sebanyak ia telah mengembang dengan sendirinya. Anda boleh menambahkan air pada peringkat akhir sekiranya didapati nasi terlalu keras.

Salad Telur

Sunday, June 24, 2007

Bahan-bahan :
5 biji telur ayam
1 batang timun
1 ikat salad
sos tomato
sos cili
mayonis - kalau suka

Cara penyediaan :
Telur dibersihkan dan direbus sehingga masak. Setelah masak, rendamkan ia didalam air sejuk dan biarkan seketika. Kupas kulitnya dan dipotong 2 atau 4. Kalau ada 'egg slicer', boleh juga menggunakannya. Timun dibentukkan sekelilingnya menggunakan garpu dan dipotong menyerong. Bersihkan salad sekeping2, pastikan daun yang elok sahaja digunakan. Susun salad di atas pinggan leper, letakkan diatasnya hirisan timun dan akhir sekali telur rebus. Tuangkan di atasnya dengan sos cili, sos tomato dan mayonis. Kalau tak de idea camana nak hias salad ni, boleh la rujuk dengan gambar yang ada.

Kacang Buncis Goreng Telur


Bahan-bahan :
300 gm kacang buncis
2 biji telur
1 sudu besar sos ikan
sedikit garam
1 biji cili hidup merah - dihiris
1/2 labu bawang besar - dimayang nipis
2 ulas bawang putih - diketuk
3 sudu besar minyak masak

Cara penyediaan :
Basuh kacang buncis dan buangkan kepala serta ekornya. Potong serong memanjang. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan bawang putih yang telah diketuk tadi. Masukkan kacang buncis dan sos ikan. Kacau rata. Pecahkan telur di dalam kuali dan masukkan sedikit garam. Kacau sehingga telur hancur dan sebati bersama kacang. Masukkan hirisan bawang besar serta cili merah dan kacau sehingga kacang masak dan masih rangup.

Kacang Bendi Goreng Bercili



Bahan-bahan :
 250 gm kacang bendi
1 biji cili hidup merah
1sudu besar sos ikan

Bahan ditumbuk kasar :
5 biji cili hidup merah
1 labu bawang besar
sedikit ikan bilis (dicuci & ditoskan)
sedikit belacan

Cara penyediaan :
Kacang bendi dibersihkan dan dipotong menyerong (jangan dibersihkan selepas dipotong kerana lendirnya akan keluar lebih banyak). Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan dengan bahan yang telah dikisar. Apabila agak garing dan terbit baunya, masukkan kacang bendi, cili merah yang dipotong, sos ikan dan sedikit garam (kalau sudah cukup masin dengan sos ikan, tak perlu lagi dimasukkan garam). Bila bendi telah kelihatan agak masak, bolehlah diangkat dan dihidangkan bersama nasi.

Pajeri Nenas


Bahan-Bahan:
1 biji nenas - dibuang kulit & dipotong 4 @ 2
1/2 kotak santan M&S
2 sudu besar gula merah / gula pasir
sedikit garam
1 peket kecil kerisik (agak2 dlm 60sen)
Bahan tumbuk :
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu besar udang kering
1 inci halis
Bahan tumis :
1 inci cm kulit kayu manis
6 sudu besar rempah kari daging babas - dibancuh dengan air
2 sudu besar minyak
2 sudu besar minyak sapi
1 tangkai daun kari

Cara penyediaan :
Panaskan minyak dan minyak sapi di dalam periuk dan masukkan bahan tumbuk bersama bahan tumis. Kacau supaya rempah tidak melekat pada periuk dan sehingga garing. Masukkan kerisik dan nenas. Masukkan santan dan garam serta gula merah/pasir. Masak hingga kuah pekat dan naik minyak. Boleh dimakan bersama nasi putih, nasi tomato ataupun nasi minyak.

p/s : Selain daripada nenas, boleh juga digantikan dengan terung panjang. Kalau anda suka, nenas boleh juga direbus sebentar supaya hilang bisanya bagi yang ada pantang larang..

Masak Lemak Labu (PUMPKIN)



Bahan-bahan :1/2 biji labu kuning (dibuang kulit dan dipotong dadu 2x2cm)
1 kotak santan M&S
cili hidup merah (dipotong)
bawang besar (ditumbuk kasar)
1 ulas bawang putih (ditumbuk kasar)
sedikit ikan bilis
sedikit serbuk kunyit
garam secukup rasa
1 helai daun kunyit (dikoyak)

Cara penyediaan :
Masukkan labu bersama air dan rebus hingga labu empuk. Apabila labu empuk, masukkan bawang yang telah ditumbuk, cili potong, ikan bilis dan garam. Biarkan seketika, akhir sekali masukkan santan dan serbuk kunyit. Kacau sentiasa, jangan sampai ia pecah minyak. Apabila agak mendidih, boleh diangkat.

BUKA PUASA - Gezort's Fruit Punch Sarsren


Bahan-bahan :
1 tin fruit cocktail
1 bekas nata de coco (perisa laici)
air gula secukup rasa
kordial sarsi secukupnya
2 sudu besar oren sunquick
2 liter air kosong
ais kiub secukupnya
sebiji oren sunquick (dihiris nipis bulat)

Cara penyediaan :
Campurkan kordial sarsi, oren sunquick dan air gula menggunakan mangkuk yang sesuai. Apabila telah sebati, masukkan nata de coco, hirisan oren sunquick, fruit cocktail dan ais kiub. Biarkan sejuk dan boleh dihidangkan.

Ayam Goreng Petai



Bahan-bahan :
3 ketul dada ayam (dipotong dadu)3-4 papan petai (dibelah dua-ambil isi saja)
2 biji tomato (dipotong 4)
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar cili sos
1 batang serai (dititik)
sedikit gula
sedikit garam
sedikit kunyit

Bahan dikisar :
2 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
sedikit belacan bakar
10 biji cili hidup merah (dibuang biji)

Cara penyediaan :
Ayam dibersihkan dipotong dadu, jangan terlalu tebal. Toskan ayam dan masukkan garam serta kunyit dan goreng hingga masak. Angkat dan ketepikan. Panaskan kuali dan gunakan minyak menggoreng ayam tadi dan tumiskan bahan kisar bersama sos tiram, sos cili, serai, garam dan gula. Kacau hingga kelihatan garing dan masukkan ayam bersama petai. Kacau hingga sebati tetapi jangan sampai petai menjadi lembik nanti kurang umph.... Angkat dan boleh dimakan bersama nasi....


BUKA PUASA - Bubur Kanji



Bahan-bahan :
2 cawan kecil beras (untuk 6 orang dewasa)
50gram udang kering (agak2 segenggam)2 batang serai - dititik
1/2 sudu kecil halba
1 tangkai daun bawang (dipotong 1/2 inci pjg)
1 inci halia (dihiris memanjang)
1/2 kotak santan M&S
2 helai daun pandan (diikat simpul)
sedikit garam
500 ml air

Bahan tumis :
3 ulas bawang merah - dihiris nipis
1 ulas bawang putih - dihiris nipis
1/2 inci halia - dihiris nipis

Cara penyediaan :
Masakkan nasi seperti anda membuat bubur biasa. Apabila telah menjadi bubur, masukkan udang kering, santan, halia, halba, garam, daun pandan dan serai. Biarkan di atas api yang perlahan dan terus mengacau hingga mendidih. Di dapur yang berasingan, panaskan minyak di dalam kuali. Tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia yang telah dihiris nipis. Biarkan hingga garing dan kekuningan. Angkat dan tuangkan semuanya bersama minyak kedalam periuk bubur dan masukkan sekali daun bawang yang telah dipotong tadi. Tutup periuk dan api, biarkan hingga sebati baru diangkat dan dihidangkan. Taburkan di atasnya dengan hirisan cili, bawang goreng dan cincangan daun bawang.....mesti terangkat!!!!
p/s : bagi yang suka campuran daging atau ayam, bolehlah dimasukkan bersama, tetapi kak cik lebih suka bubur kanji yang simple begini, lagipun aroma udang kering dan bahan tumis darat tu dah cukup menyelerakan.

BUKA PUASA - Popia Basah



Bahan-bahan :
1 batang karot (dihiris nipis memanjang)1 biji sengkuang (dihiris nipis memanjang)
sedikit udang kering (dicuci & ditumbuk halus)
sedikit taugeh (dicelur)
sedikit garam dan serbuk kunyit
kulit popia segera (ada jual di pasaraya)
2 sudu besar pes cili
2 sudu besar gula
sedikit air asam jawa (agak 2 sudu besar)
bawang goreng
kacang tanah (digoreng & ditumbuk halus)
minyak untuk menumis
sedikit air

Bahan dicincang halus :
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih


Cara penyediaan inti :
Panaskan minyak dan masukkan separuh daripada bahan yang telah dicincang halus tadi. Goreng hingga kekuningan dan masukkan udang kering yang ditumbuk halus, kacau hingga garing. Masukkan hirisan karot dan sengkuang. Jangan biarkan terlalu lama kerana sayur akan menjadi layu dan tidak rangup. Masukkan garam dan serbuk kunyit untuk menjadikannya sedikit kekuningan. Angkat dan biarkan sejuk.

Cara penyediaan cili :
Panaskan minyak dan tumiskan bahan yang telah dihiris halus. Kacau hingga garing dan masukkan pes cili bersama air asam jawa, garam dan gula. Pastikan cili digoreng hingga terbit bau wangi dan kelihatan pekat serta sedikit melekit. Untuk memastikan ianya melekit, pastikan gula mencukupi supaya rasanya lebih manis dan tidak pedas.

Cara penyediaan popia :
Keluarkan kulit popia dari peti sejuk dan biarkan dengan udara luar lebih kurang 1/2 jam. Keluarkan selapis demi selapis dan tutup baki yang tidak digunakan lagi dengan tuala lembab. Ambil sekeping kulit popia, letakkan pada kedudukan menyerong. Sapukan sedikit cili dan letakkan di atasnya dengan karot dan sengkuang yang telah digoreng bersama taugeh yang telah dicelur tadi. Taburkan dengan sedikit bawang goreng dan kacang tumbuk (kalau suka). Gulungkan kulit popia dan pada penghujungnya letakkan sedikit air sebagai gam untuk melekatkannya. Setelah itu sapukan lagi dengan sedikit cili di atasnya dan ulangi sehingga habis. Siap untuk dihidangkan. Bagi yang gemar dengan 'scrambled egg' boleh lah taburkannya sebagai menggantikan bawang goreng dan kacang tumbuk. Selamat mencuba....kalau ada komen, postkan lah untuk kak cik, k?

BUKA PUASA - Mi Kari

Saturday, June 16, 2007




Bahan-bahan :
2 bungkus mi kuning1 ekor ayam (dipotong kecil2 kecuali dadanya)
2 kiub pati ayam Knorr
1 kotak kecil santan M&S
10 ketul bebola ikan - dipotong dua
2 keping fish kek - dipotong memanjang
6 batang kacang panjang
5 ketul tauhu goreng - dipotong 4
200 gram isi kerang - jika suka
2 sudu besar kerisik
sedikit garam
1 liter air

Bahan kisar :
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang halia
1 inci lengkuas
Bahan tumis :
3 tangkai daun kari
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 inci kulit kayu manis
4 sudu besar minyak masak
3 sudu besar rempah kari daging babas
1 sudu besar rempah kari ikan babas
Bahan hiasan :
cili merah (dihiris nipis)
bawang goreng
daun bawang (dipotong kecil)
daun sup (dihiris kasar) - jika suka
limau kasturi (dibelah dua)

Cara penyediaan kuah kari :
Mi dicelur sekejap di dalam air panas dan ditoskan. Ayam direbus bersama kiub pati ayam hingga ayam empuk. Keluarkan dada ayam dan koyak2 kan isinya. Rempah kari ikan dan daging dicampur dengan sedikit air dan sebahagian daripada bahan tumis dan jadikan ia seperti pes. Panaskan minyak masak dan majerin dan masukkan bahan2 tumis bersama bahan kisar. Kacau hingga garing dan masukkan campuran rempah dan kacau lagi hingga garing.
Cara penyediaan mi kari :
Ambil segenggam mi kuning yang telah dicelur. Letakkan di dalam pinggan, tuangkan kuah kari dan hiaskan dengan rencah hiasan di atas. Selamat makan....

BUKA PUASA - Lontong Kak Cik Version

 
Bahan-bahan untuk nasi :
1 peket besar beras nasi impit
(kalau pek kecil tu pandai2 la agak ye)
sedikit garam
2 helai daun pandan - disimpul

Bahan sayur :
1/4 bhg kobis (saiz sederhana) - dipotong kasar
1 batang karot - dipotong memanjang
2 bungkus suhun - direndam
1 keping tempe - dipotong dadu
2 ketul tauhu - digoreng & dipotong 6
6 batang kacang panjang - dipotong 1 inci pjg
200 gram udang basah - dibuang kulit dan dibersihkan
1 biji terung saiz sederhana - dipotong serong 1 inci
2 kotak santan M&S
sedikit garam dan serbuk kunyit
sedikit gula
daun kunyit - dipotong 2
1 batang serai - dititik
2 keping asam gelugur

Bahan kisar :
10 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas

Cara penyediaan :
Nasi direbus bersama garam dan daun pandan selama lebih kurang 1 jam. Pastikan air rebusan menenggelamkan peket beras dan tutup periuk. Tambah lagi air apabila hampir kering. Setelah nasi kembang dan memenuhi keseluruhan plastik, angkat dan toskan. Biarkan ia betul2 sejuk, barulah dipotong.

Campurkan kesemua bahan kisar bersama sayuran di dalam periuk dan kacau tanpa henti sehingga ia mendidih. Jangan biarkan ia mendidih tanpa dikacau kerana ini akan menyebabkan ia pecah minyak. Angkat dan hidangkan bersama sambal tumis ikan bilis atau pun tempe goreng cili.....pasti nak lagi.

BUKA PUASA - Roti Jala Emas

 



Bahan-bahan :
1 kilo tepung gandum
3 biji kuning telur
sedikit garam
sedikit serbuk kunyit
air secukupnya
acuan roti jala
daun pandan - diikat
sedikit minyak

Cara membuatnya :
Campurkan kesemua bahan dan masukkan ke dalam blender. Kisarkan kesemua bahan supaya tidak ada ketulan2 tepung yang boleh menyebabkan acuan tersumbat. Setelah acuan agak kembang dan sebati, tuangkan ke dalam bekas. Pastikan adunan cun2, maknanya tidak pekat dan tidak terlalu cair. Panaskan kuali leper yang tidak melekat dan sapukan minyak ke atasnya. Jangan biarkan kuali terlalu panas. Tuangkan adunan tepung ke dalam acuan dan kiraikan lah seperti jala di dalam kuali. Biarkan agak keemasan dan terus angkat. Lipat samada bentuk 3segi ataupun dilipat bulat, terpulang kepada citarasa masing2. Cicah dengan kuah kari ayam atau daging, cari2 la kari ayam dan daging yang kak cik post kan kat sini...... gerenti terangkat!!!!!!!

Tempe Bercili Goreng Kering

Friday, June 15, 2007



Bahan-bahan :
2 bungkus tempe
Ikan bilis - digoreng
Kacang tanah - digoreng minyak
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar gula
Minyak untuk menggoreng tempe

Bahan tumis :
2 sudu besar pes cili
3 labu bawang besar - dimesin halus
4 sudu besar minyak masak

Cara penyediaan :
Tempe dipotong 2cmx5cm dan digaul dengan kunyit tetapi jangan masukkan garam sebab ia sememangnya telah masin. Gaul rata dan goreng di dalam minyak yang terendam. Setelah agak garing, angkat dan biarkan seketika. Keluarkan minyak yang banyak dan tinggalkan untuk menumis. Masukkan bahan tumis bersama sos cili, sos tomato, sos tiram, gula dan garam. Goreng hingga betul-betul kering di atas api yang perlahan. Apabila telah masak, masukkan tempe, ikan bilis dan kacang tanah yang telah digoreng tadi dan gaul rata hingga campuran sebati. Ketepikan kesemua campuran dan biarkan seketika di tepi kuali agar minyak yang berlebihan akan turun ke dalam kuali, kemudian barulah diangkat dan dihidangkan.

Nasi Lemak Sambal Ikan Bilis




Bahan-bahan :
5 cawan beras (direndam 2-3 jam)
1 kotak kecil santan M&S
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 helai daun pandan
2 batang serai - dititik
1 inci halia - dihiris
2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1/2 sudu kecil halba
Air mengikut sukatan beras

Bahan sampingan :
Rendang daging
Ikan bilis goreng
Telur rebus (dibelah dua) atau
Telur mata kerbau
Hirisan timun
Kacang tanah - digoreng minyak
Sambal tumis ikan bilis
Cara penyediaan :
Beras dibasuh dan ditoskan. Masukkan di dalam rice cooker bersama semua bahan-bahan di atas (jangan masukkan pulak bahan sampingan di atas). Pastikan air mencukupi dan jangan terlalu banyak, takut nasi lemak menjadi lembik dan kurang enak. Sentiasa mengacau campuran beras tadi supaya tidak hangit di bahagian bawahnya. Masak nasi seperti biasa dan biarkan nasi betul-betul kering dan masak. Angkat dan hidangkan bersama bahan-bahan sampingan di atas.

Sambal tumis ikan bilis :
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1/2 labu bawang besar
100 gm ikan bilis
1 cm belacan - dibakar
4 sudu besar pes cili
2 cawan air asam jawa
1 batang serai - dititik
Garam secukup rasa
2 sudu besar gula
3 sudu besar minyak masak
Cara penyediaan :
Panaskan kuali dengan minyak masak. Masukkan hirisan bawang merah dan bawang putih dan goreng hingga kekuningan. Kemudian masukkan pes cili bersama belacan bakar dan goreng sehingga garing dan terbit bau wangi. Tambahkan air asam dan masukkan hirisan bawang besar, serai, garam, gula dan ikan bilis. Goreng hingga kuah menjadi agak pekat dan pecah minyak.

Nasi Beriyani Alaf Baru

Bahan-bahan :
5 cawan beras basmathi, direndam 1jam
1/2 cawan susu cair ideal
3 helai daun pandan
2 batang serai - dititik
Buah kismis - hiasan
Gajus goreng - hiasan
1 peket rempah beriyani Faiza
Air mengikut sukatan beras
Garam secukup rasa

Bahan tumis :
3 sudu minyak sapi
2 sudu majerin vitalite
3 tangkai daun kari
2 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
3 cm kulit kayu manis
1 inci halia - dimayang nipis
1/2 labu bawang besar -dimayang nipis
2 ulas bawang putih - dimayang halus

Cara penyediaan :
Panaskan minyak sapi dan majerin (gunakan rice cooker lagi bagus). Masukkan bahan tumis dan kacau hingga garing. Masukkan rempah beriyani yang telah dicampur dengan air dan kacau lagi hingga rempah agak kering dan berbau wangi. Tambahkan air dan garam tetapi jangan terlalu banyak, takut nanti nasi menjadi lembik. Biarkan air mendidih dan masukkan serai serta daun pandan. Beras yang telah direndam tadi hendaklah dicuci dan ditoskan, kemudian dimasukkan ke dalam periuk. Tutup tudung periuk dan biarkan nasi menjadi kering. Kacau nasi dan biarkan ia masak. Setelah nasi masak dan betul-betul kering, masukkan susu cair dan kacau hingga serata dan biarkan selama 3 minit. Angkat nasi dan hiaskan bersama kismis dan gajus goreng.

Rendang Mak Tok

Bahan-bahan :
1 kilo daging pejal (dipotong dadu 3cm)
2 keping asam keping
2 helai daun kunyit (dihiris nipis)
3 helai daun limau purut
500ml air
garam secukup rasa
1 sudu kecil gula
1/2 cawan kerisik
1 kotak besar santan M&S

Bahan kisar :
15 ulas bawang merah
8 ulas bawang putih
2 labu bawang besar
4 batang serai
2 inci halia tua
2 inci halia muda
3 inci lengkuas
2 biji buah keras
2 sudu besar pes cili

Bahan tumis :
2 tangkai daun kari
2 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 inci kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
3 sudu minyak masak

Cara penyediaan :
Panaskan minyak di dalam kuali, seeloknya sediakan kuali besar. Masukkan bahan tumis dan kacau sebentar, kemudian masukkan kesemua bahan yang telah dikisar halus tadi. Masukkan ketulan daging, air, kerisik dan santan. Biarkan daging mendidih di dalam kuali sehingga empuk. Jika dirasakan air tadi tidak mencukupi, tambahkan lagi air dan terus biarkan ia mendidih. Apabila agak pekat, masukkan asam keping, hirisan daun kunyit, daun limau purut, garam dan gula. Perlahankan api dan biarkan rendang kering perlahan-lahan. Untuk memastikan rendang elok dimasak dan kering, boleh dilihat pada warnanya yang bertukar menjadi agak hitam/coklat. Angkat dan hidangkan bersama nasi putih, nasi minyak, nasi beriyani (semua resipi nasi ada kak cik sertakan) ataupun roti. Selamat mencuba..... dan jangan lupa komen.

BUKA PUASA - Kuah Kacang Mak Su

Wednesday, June 13, 2007

Bahan-bahan :
300 gram kacang tanah
4 ulas bawang merah - ditumbuk halus
2 ulas bawang putih - ditumbuk halus
2 sudu besar pes cili (ikut kepedasan)
2 sudu besar gula merah @ gula kabung
garam secukup rasa
1/4 cawan air asam jawa
sebatang serai - dititikkan
1 cawan air (ikut kepekatan kacang)
Minyak untuk menumis

Cara penyediaan :
Kacang tanah digoreng tanpa minyak. Biarkan sejuk seketika dan bersihkan kulitnya. Kisar kacang tetapi jangan terlalu halus, jika boleh tumbuk lebih baik. Ketepikan kacang yang telah ditumbuk tadi. Panaskan minyak dan tumis bahan2 tumbuk hingga garing. Masukkan pes cili dan kacau hingga terbit bau. Kemudian masukkan air, air asam jawa, gula merah/kabung, serai dan garam. Apabila telah mendidih masukkan kacang dan kacau di atas api yang perlahan hingga kuah menjadi pekat. Angkat dan hidangkan bersama cucur udang dan juga nasi impit....mesti baeekk punya.


BUKA PUASA - Cucur Udang Kak Cik

Bahan-bahan :

500 gram tepung gandum
1 biji telur ayam
1 ulas bawang besar - dicincang halus
sedikit kunyit serbuk (untuk kelihatan keemasan)
sedikit garam
daun kucai - dipotong 1 inci
taugeh
udang basah - dibuang kulit dan dibersihkan
air suam - ikut kelembutan tepung
minyak untuk menggoreng

Cara penyediaan :
Gaulkan tepung bersama dengan kesemua bahan di atas. Setelah semua bahan digaul rata, barulah dimasukkan air suam dan kacau hingga adunan sedikit pekat tetapi jangan terlalu pekat. Biarkan dahulu adunan selama 15 minit untuk merehatnya. Selepas 15 minit barulah dipanaskan minyak di dalam kuali dan masukkan tepung sedikit demi sedikit. Jika mahu cucur kelihatan bulat dan cantik, elok menggunakan jari semasa memasukkan adunan ke dalam kuali, sama seperti kita membuat kuih jemput2 atau cekodok. Boleh juga menggunakan senduk yang dipanaskan terlebih dahulu supaya cucur tidak melekat di dalam senduk (bagi udang saiz besar). Goreng menggunakan api yang perlahan supaya tepung di bahagian dalam masak dengan elok dan serata. Bila cucur agak kekuning-kuningan bolehlah diangkat dan cicah bersama kuah kacang.

Sandwich Scrambled Egg

Bahan-bahan :
1 buku roti Gardenia (saiz kecil)
6 biji telur omega (kuningnya lebih cantik)
2 sudu besar buttercup
sedikit lada sulah
sedikit garam
2 sudu besar krim segar atau krim putar
1 labu bawang - dicincang halus
1/4 cawan susu cair ideal
Buttercup untuk disapu ke atas roti
Kepingan keju dan thousand islands dressing
Salad dan hirisan tomato - hiasan

Cara penyediaan :
Telur dipukul bersama susu cair, garam dan serbuk lada sulah. Cair mentega di dalam 'non-stick pan' dan masukkan bawang besar yang telah dicincang. Jangan biarkan bawang garing, terus masukkan campuran telur tadi dan kacau dengan segera menggunakan sudip kayu. Bila telur telah separuh masak, angkat kuali dan masukkan krim segar atau krim putar dan terus mengacau tanpa api. Biarkan telur masak dengan kadar suhu yang tidak terlalu panas kerana ini akan membuatkan telur kelihatan lebih lembut dan tidak garing. Hancurkan ketulan telur dengan mengacau tanpa henti sehinggalah ia kelihatan ketulan2 kecil. Ambil sekeping roti Gardenia dan sapukan dengan buttercup di atasnya. Taburkan scrambled egg di atasnya dan letakkan salad, hirisan tomato dan sekeping keju dan tangkupkan dengan sekeping lagi roti yang telah disapu dengan buttercup juga (jika suka, lebih sedap kalau diletakkan 'thousand island dressing' di atasnya). Untuk kelihatan lebih cantik dan kemas lagi, potong disekeliling kulit roti dan jadikan ia bentuk segitiga.

Telur Masak Kicap Ala Biring

Bahan-bahan :
4 biji telur ayam
1 biji kentang - di hiris
1/2 cawan kacang pis dalam tin
1 ulas bawang merah - dimayang halus
1 ulas bawang putih - dimayang halus
1 labu bawang besar - dimayang kasar
1 tangkai cili merah - dimayang kasar
1 biji tomato - dipotong 4
Daun bawang - potong sebagai hiasan
Kicap pekat
Minyak masak

Cara penyediaan :
Telur digoreng ala mata kerbau. Angkat dan letakkan dalam pinggan. Panaskan minyak untuk menumis. Tumiskan bawang merah dan bawang putih hingga agak garing. Masukkan kicap pekat, air dan hirisan kentang. Biarkan hingga kentang agak empuk. Kemudian masukkan kacang pis, tomato, bawang besar dan cili merah. Bila kuah agak mendidih masukkan telur mata kerbau yang telah digoreng tadi dan biarkan hingga ia sebati. Angkat dan hiaskan dengan daun bawang dan hidangkan......yummmy.......

Kerapu / Siakap Masak Masam Manis

Bahan-bahan :
2 ekor ikan kerapu/siakap (saiz sederhana)
3 biji tomato - dicincang dadu
2 biji cili merah - di hiris kasar
1 biji capsicium - di potong dadu
1 batang karot (kecil) - dipotong memanjang
1 tangkai daun bawang - dipotong
Sedikit bunga kobis - dipotong kecil
2 potong nenas - di dadu
1 sudu besar pes cili
1 labu bawang besar - dipotong bulat
5 ulas bawang putih - ditumbuk kasar
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sedikit sos ikan
1/2 cawan campuran sos cili dan tomato
1 sudu teh tepung jagung - bancuh dgn 3 sudu air
Sedikit garam
2 sudu besar gula
2 helai daun limau purut

Cara penyediaan :
Ikan dibersihkan dan dilumurkan dengan serbuk kunyit dan garam. Seratakan ke semua bahagian ikan. Gunakan kuali yang tidak melekat (non stick pan), tuangkan minyak hingga lepas paras ikan. Apabila minyak panas, masukkan ikan dan perlahankan api. Biarkan hingga ikan masak tetapi jangan terlalu garing. Angkat ikan dan biarkan sebentar. Di dalam kuali yang lain, panaskan 4 sudu besar minyak masak, tumiskan bawang putih. Apabila bawang putih sudah garing, masukkan pes cili. Tumis hingga pes cili agak garing, kemudian masukkan tomato yang telah dicincang, karot, campuran sos cili dan tomato, sos tiram, sos ikan, garam dan gula. Biarkan hingga agak kering dan masukkan cili merah, bunga kobis, daun limau purut, nenas dan capsicium. Kacau hingga sebati. Masukkan tepung jagung yang telah dicampur air untuk memekatkan kuah dan kacau sebentar. Angkat dan tuangkan ke atas ikan yang telah digoreng tadi. Taburkan dengan potongan daun bawang dan sedia untuk dihidangkan.

BUKA PUASA - Mi Sup Daging dan Tulang Gezort

Bahan-bahan :
1 kilo daging + tulang rawan
2 bungkus sup bunjut
3 biji ubi kentang
2 batang karot
2 inci halia - dihiris kasar
2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
1 biji buah pelaga
1 sudu teh lada hitam (biji)
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
4 batang daun sup - dihiris halus
1 pokok daun bawang - dipotong 1 inci pjg
Garam secukup rasa


Bahan kisar :
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih



Cara penyediaan :
Rebuskan tulang sehingga dagingnya lembut. Kemudian masukkan daging yang telah dipotong, sup bunjut, kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan hirisan halia ke dalam periuk berisi tulang dan rebus lagi sehingga empuk. Apabila daging dan tulang telah empuk, masukkan ubi kentang dan bahan kisar dan biarkan sehingga ia menggelegak. Masukkan pula karot dan hirisan daun sup serta garam. Sementara menunggu karot empuk, panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang merah dan bawang putih yang telah dihiris nipis tadi. Kacau dalam api perlahan sehingga garing. Apabila bawang telah garing, angkat kuali dan tuangkan bawang bersama minyak ke dalam periuk sup tadi. Masukkan juga lada hitam dan potongan daun bawang. Padamkan api dan tutup periuk, biarkan sup sebati bersama tumisan bawang goreng tadi. Selepas 5 minit angkat dan hidangkan bersama mi, mihun ataupun nasi putih. Jika dimakan bersama mi atau mihun, pastikan adanya cili tumis supaya rasanye lebih ummpphhhh.................

Acar Sayuran Sempoi

Tuesday, June 12, 2007

Bahan-bahan :
2 batang timun (dibuang pulur & potong memanjang)
1 batang karot - dipotong memanjang

1 biji sengkuang - dipotong memanjang
2 tangkai cili merah - dibuang biji & potong memanjang
2 tangkai cili hijau - dibuang biji & potong memanjang
5 ulas bawang merah - dibelah dua
5 ulas bawang putih - dibelah dua
1 inci halia - dihiris memanjang
1 labu bawang besar - dipotong dadu
1/2 sudu besar cili kering yang telah dimesin
Sedikit cuka, garam dan gula
3 sudu teh bijan - digoreng tanpa minyak
1/4 sudu teh biji sawi
Sedikit serbuk kunyit
Minyak untuk menumis


Cara penyediaan :
Panaskan minyak dan masukkan bawang merah, bawang putih, halia serta biji sawi, jangan sehingga garing. Kemudian masukkan cili mesin dan kacau sebentar. Masukkan sayuran yang telah dipotong bersama-sama garam, gula, serbuk kunyit, cuka dan bijan goreng selama lebih kurang 3 minit. Angkat dan hidangkan bersama nasi minyak atau nasi tomato.

BUKA PUASA - Nasi Tomato

Bahan-bahan :
5 cawan beras basmathi
1 tin kecil tomato puree 'duchef"
1 cawan susu cair ideal
Kismis hitam
Sedikit garam
Air (ikut kelembutan beras)
Minyak sapi dan majerin vitalite
2 helai daun pandai - diikat simpul

Bahan tumis :
3 tangkai daun kari
3 ulas bawang merah - dihiris nipis
2 ulas bawang putih - dihiris nipis
1 inci halia - diracik memanjang
3 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
1 biji buah pelaga

Bahan hiasan :
Gajus, bawang goreng dan hirisan daun bawang

Cara penyediaan :
Beras direndam selama 1 jam supaya ia kembang sedikit. Setelah itu toskan. Panaskan minyak sapi dan majerin dan masukkan bahan tumis (seeloknya gunakan rice cooker). Kacau hingga garing. Masukkan air, garam, tomato puree dan daun pandan, biarkan hingga mendidih. (Jangan masukkan terlalu banyak air kerana beras telah mengembang, takut nanti nasi jadi lembik dan kurang enak dimakan). Setelah mendidih, masukkan beras yang telah ditoskan tadi dan kacau hingga sebati. Biarkan nasi kering dan kaup balikkan nasi supaya ia masak serata pada bahagian atas dan bawah. Apabila nasi telah masak barulah dimasukkan kismis hitam dan biarkan sebentar kerana kismis ini akan mengembang di dalam periuk. Angkat nasi dan hiaskan dengan hirisan daun bawang dan bawang goreng. Memang sedap dimakan bersama kurma ayam, daging ataupun dalca. Selamat mencuba...........

Dalca Special Kak Cik

Bahan-bahan :
400 gm daging batang pinang (potong kecil)
3 sudu besar rempah kari daging (bancuh dgn sedikit air)
3 biji tomato - dipotong 4
1 biji terung - belah 2 & potong menyerong
5 batang kacang panjang - potong 1 inci panjang
1 batang karot - potong 1 inci panjang
2 biji ubi kentang - di potong 4 & 6
2 tangkai cili merah & hijau (belah 2)
1/2 kotak santan M&S (campur dgn sedikit air)
1 cawan kacang dhal (rebus hingga empuk & toskan)
3 sudu besar minyak sapi
Sedikit garam dan air




Bahan tumbuk :
8 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
Bahan tumis :
3 tangkai daun kari
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkeh
2 biji bunga lawang
2 biji buah pelaga
Cara penyediaan :
Panaskan minyak sapi dan masukkan bahan tumis dan bahan tumbuk. Kacau hingga garing dan masukkan bancuhan rempah kari. Kacau hingga sebati dan terbit bau wangi. Masukkan potongan daging dan air, biarkan daging empuk. Apabila daging telah empuk, masukkan kentang dan biarkan separuh empuk. Kemudian masukkan karot , terung, kacang dhal, tomato, cili merah, cili hijau dan kacang panjang dan biarkan ia mendidih seketika. Akhir sekali masukkan garam dan santan cair dan terus mengacau hingga kuah menjadi pecah minyak. Angkat dan hidangkan bersama nasi minyak, nasi beriyani atau pun nasi putih.

BUKA PUASA - Kurma Ayam / Daging

Bahan-bahan :
1 ekor ayam (dipotong 12 & dibersihkan) @
1 kilo daging batang pinang
4 sudu besar rempah kurma baba's
1 sudu teh serbuk kaskas
2 biji tomato - dipotong 4
2 tangkai cili merah - dibelah 2, jangan putus
2 tangkai cili hijau - dibelah 2, jangan putus
2 labu bawang besar - dipotong 4
1/2 kotak santan M&S
4 biji ubi kentang

Bahan-bahan kisar :
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
3 biji buah keras

* asingkan separuh bahan kisar dan campurkan bersama rempah kurma bersama air dan kacau hingga sebati

Bahan-bahan tumis :
3 helai daun kari
2 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
3 inci kulit kayu manis
3 sudu minyak sapi, 2 sudu majerin

Cara penyediaan :
Panaskan minyak sapi dan minyak masak, masukkan bahan tumis bersama bahan kisar. Kacau hingga terbit bau dan kelihatan keperangan. Masukkan campuran rempah kurma dan bahan kisar, kacau hingga garing. Apabila telah garing, masukkan ayam atau daging dan kacau hingga sebati. Apabila agak kering, masukkan air dan biarkan ia mendidih dan hampir masak. Masukkan kentang dan kacau hingga masak. Kemudian masukkan potongan bawang besar, tomato, cili merah dan cili hijau. Kacau hingga mendidih dan biarkan ia agak pekat. Akhir sekali masukkan santan dan kacau perlahan-lahan selama 2 minit supaya ia tidak menggelegak.

Ayam Masak Merah

Bahan-bahan :
Ayam - dipotong 12 (agak kecil) dan dibersihkan
(ayam digoreng tetapi jangan terlalu garing)
4 biji kentang - dipotong memanjang & digoreng
1 labu bawang besar - dimayang bulat
Daun bawang - dipotong sepanjang 1 inci
2 biji tomato - dipotong 4
3 sudu minyak sapi, 3 sudu minyak masak
1 sudu teh gula, 1 susu teh madu
1/2 cawan campuran sos tomato dan cili
garam secukup rasa
bawang goreng untuk hiasan
1/4 cawan susu cair ideal

Bahan untuk dikisar :
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
10 tangkai cili kering

Bahan tumis :
3 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kelopak bunga cengkih
2 biji buah pelaga

Cara penyediaan :
Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam kuali. Masukkan bahan tumis bersama bahan kisar, garam, gula, madu dan campuran sos tomato dan cili. Kacau hingga kelihatan garing dan berbau wangi. Masukkan hirisan kentang yang telah digoreng, bawang merah dan potongan tomato dan kacau hingga sebati. Apabila telah masak, masukkan susu cair dan kacau rata pada kadar api yang amat perlahan, jangan sampai mendidih. Akhir sekali masukkan hirisan daun bawang dan terus diangkat (boleh juga ditaburkan di atas masakan bersama dengan bawang goreng). Jangan biarkan lama di dalam kuali kerana daun bawang mudah layu.

KaKCiK | ReCiPeS Copyright © 2010 Designed by GeZoRT for LyZa Vector by GeZoRT